Pages

Israk dan Mikraj (II)

Bismillah.

Semasa Mikraj ( Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah S.W.T );

Baginda Rasulullah s.a.w didatangkan dengan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Baginda dan Jibrail a.s naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

Di Langit Pertama: Rasulullah s.a.w dan Jibrail a.s berjumpa dengan Nabi Adam a.s. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

Di Langit Kedua: Baginda dan Jibrail a.s naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Isa a.s. dan Nabi Yahya a.s.

Di Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf a.s. Sungguh, Nabi Yusuf a.s telah dianugerahkan dengan ketampanan.

Di Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris a.s.

Di Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun a.s yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

Di Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Seterusnya dengan Nabi Musa a.s. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

Di Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim a.s yang sedang bersandar di Baitul Makmur dihadapi oleh beberapa kaumnya.

Nabi Ibrahim a.s bersabda, “Engkau akan berjumpa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah umat yang terakhir dan terlalu dhaif, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu la haula wa la quwwata illa billah”.

Mengikut riwayat lain, Nabi Ibrahim a.s bersabda, “Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu subhanallah, walhahamdulillah, wa la ilah illa allah wallahu akbar, wa la haula wa la quwwata illa billahil ‘aliyyil azim. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga”.




Setelah melihat beberapa peristiwa lain yang ajaib, Rasulullah s.a.w dan Malaikat Jibrail a.s masuk ke dalam Baitul Makmur dan mengerjakan solat (Baitul Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di atas Mekah).

Di Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

Di Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

Di Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah SWT dengan mata kepalanya, lantas sujud. Selesai munajat, maka Rasulullah s.a.w telah menerima perintah Allah Taala iaitu perintah melakukan ibadat solat untuk seluruh umatnya sebanyak 50 waktu sehari semalam.

Sebaik sahaja menerima perintah tersebut tanpa banyak bicara baginda dan Malaikat Jibril a.s bersiap sedia untuk turun ke bumi. Pada masa inilah baginda bertemu dengan Nabi Musa a.s yang bertanyakan hal itu kepada baginda.

Setelah mendengar penjelasan Nabi Muhammad s.a.w maka Nabi Musa a.s berkata: “Kembalilah kepada Tuhanmu dan mintalah sedikit keringanan kerana bilangan tersebut tidak akan terdaya dilakukan oleh umatmu.”

Nabi Muhammad s.a.w dan Jibril kembali mengadap Allah Taala. Jumlah bilangan waktu solat telah dikurangkan kepada 40 waktu. Apabila berjumpa Nabi Musa a.s kemudiannya maka Nabi Musa a.s meminta baginda kembali menemui Tuhan untuk meminta dikurangkan lagi jumlah tersebut. Setelah beberapa kali Nabi Muhammad s.a.w berulang alik menemui Allah Taala dan pada akhirnya Allah Taala telah mengurangkan bilangan solat fardu tersebut menjadi 5 waktu sahaja.


Selepas Mikraj

Rasulullah S.A.W turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu.

P.S : Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah. Masih tiada tarikh tertentu yg muktamad Israk Mikraj. Ianya masih diperbahaskan. Wallahualam.

Sumber [here]

No comments:

Post a Comment