Pages

Israk dan Mikraj (I)

Bismillah.

Syaikh ‘Abdul ‘Aziz bin Bazz rahimahullah berkata:

Malam Isra’ Mi’raj tidak diketahui waktu terjadinya. Kerana seluruh riwayat berkenaan dengannya tidak ada yang sahih menurut para pakar ilmu hadis. Di sisi Allah lah hikmah di sebalik semua ini. Jika memang diketahui waktunya, tetap tidak boleh bagi kaum muslimin mengkhususkannya dengan ibadah dan perayaan. Kerana ianya tidak pernah dilakukan oleh Nabi S.A.W. dan para sahabatnya. Seandainya disyari’atkan, sudah tentu Nabi S.A.W. menjelaskannya kepada umat, sama ada dengan perkataan mahu pun perbuatan.

(Ibnu Bazz, at-Tahzir minal Bida’, m/s. 9)




Sebelum Israk dan Mi'raj

Dada Rasulullah s.a.w dibedah oleh malaikat Jibrail dan Mika’il untuk membersihkan hati Baginda. Hati Baginda s.a.w dicuci dengan air zam zam, dibuang ketul hitam yang merupakan tempat syaitan. Kemudian dijahit dan dimeterikan dengan “khatimin nubuwwah”.


Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa)

Lepas itu, Baginda didatangkan dengan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan “Israk” tersebut.

Sepanjang perjalanan Israk Rasulullah s.a.w ditemani oleh Malaikat Jibrail a.s dan di antara peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang perjalanan itu:


1. Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka, apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang.
Rasulullah s.a.w diberitahu oleh Jibrail: Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.


2. Tempat yang berbau harum.
Rasulullah s.a.w diberitahu oleh Jibrail: Itulah bau kubur Masyitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).


3. Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali.
Rasulullah s.a.w diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).


4. Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam.
Rasulullah s.a.w diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.


5. Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka.
Rasulullah s.a.w diberitahu oleh Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri/suami.


6. Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu.
Rasulullah s.a.w diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang yang makan riba


7. Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tetapi ditambah lagi kayu yang lain.
Rasulullah s.a.w diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.


8. Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan gunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa.
Rasulullah s.a.w diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.


9. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka.
Rasulullah s.a.w diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

10. Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu.
Rasulullah s.a.w diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tetapi sudah terlambat.


11. Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya.
Rasulullah s.a.w diberitahu oleh Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.


12. Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah s.a.w tidak menghiraukannya.
Rasulullah s.a.w diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke hari tua.


13. Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu.

Rasulullah s.a.w diberitahu oleh Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.



Insya Allah, bahagian dua yang tentang Mikraj akan menyusul. Wallahualam.

No comments:

Post a Comment